Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas sekitar USD6.3 juta (RM26 juta), termasuk dua jam Rolex dan sebuah komputer riba dari beberapa lokasi, termasuk sebuah kondominium di Cyberjaya, Selangor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, hasil rampasan ini dipercayai daripada dana kerajaan yang diseleweng, dan ia berkait rapat dengan penahanan seorang individu bergelar Datuk semalam.

“Siasatan dijalankan berhubung penyalahgunaan wang, dan wang ini diklasifikasi wang milik kerajaan yang disalahgunakan.

“Kita dah panggil ramai saksi untuk bantu siasatan, termasuk tiga orang asing, dan menurut pegawai penyiasat, tidak kurang 21 saksi lagi akan cuba dikesan,” katanya kepada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Selain penahanan individu itu, dan tujuh lagi pegawai, Azam turut mengesahkan seorang lagi ahli perniagaan berpangkat Datuk turut ditahan bersama sejumlah USD4.01 juta, di Cyberjaya, malam Khamis.

Beliau berkata, ahli perniagaan itu berasal dari Kelantan, dan mempunyai taraf penduduk tetap di United Kingdom, dan turut direman selama lima hari.

“Pihak SPRM percaya jumlah dana yang diselewengkan sekitar USD12 juta, dan kami hanya berjaya mengesan separuh daripadanya. Untuk itu kami menyeru agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil ke hadapan, dan akan diberikan perlindungan sekiranya perlu,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azam berkata, setakat ini ia sudah 60 peratus lengkap.

Baki 40 peratus, ujarnya lagi, agak rumit kerana ia melibatkan bahan bukti dan keterangan yang perlu diambil dari negara luar.