Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyita beberapa barangan berharga yang dipercayai hasil daripada kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.

Menurut sumber, jumlah aset yang disita ialah wang tunai bernilai lebih RM100,000, dua buah kereta jenama Mazda CX5 dan Honda CRV serta sebuah jongkong emas yang dianggarkan bernilai lebih RM18,000.

Jelas sumber, sehingga kini, SPRM telah menahan 12 individu termasuk seorang pegawai kanan dan enam pegawai daripada sebuah agensi kerajaan di Pahang yang terlibat dalam kes tersebut.

Tambah sumber lagi, difahamkan, kegiatan itu berlaku sejak 2014 dan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini, projek-projek bawah kendalian dan seliaan agensi berkenaan dimonopoli serta dikawal oleh seorang kontraktor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu dan berkata, pasukan penyiasat kini dalam proses mengumpul bukti dan siasatan masih dijalankan.