Kerajaan menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak berhubung pindaan terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagi menimbang dan memasukkan pandangan mereka, pindaan kepada Akta tersebut perlu ditarik balik.

Bagaimanapun, beliau masih belum menetapkan bilakah pindaan terbaharu Akta MKN akan dibentangkan ke Parlimen.

“Kita dapati banyak pendapat yang berbeza dan undang-undang itu perlu dikaji untuk memasukkan idea-idea yang telah disampaikan kepada kita.

“Saya tak berani jamin (bilakah pembentangan baharu) tapi secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin menarik balik Rang Undang-Undang MKN, selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada April lalu.

Mengulas berkenaan usaha untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang berusaha memuktamadkan undang-undang baharu yang bakal menggantikan akta tersebut.

“Pertamanya, kita (kerajaan) menarik balik undang-undang dahulu (Akta Hasutan 1948) untuk digantikan dengan undang-undang baharu.

“Kita dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang ini, dan ia akan dimuktamadkan secepat mungkin ” katanya.

Pada Rabu, bekas Presiden Persatuan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menambah tempoh hukuman penjara pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan.

Ambiga menyifatkan hukuman itu sebagai memalukan dan menuntut pemansuhan akta drakonian berkenaan selain menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menunaikan janji memansuhkan Akta Hasutan.

Beliau juga meminta kerajaan tidak memberikan alasan mengekalkan undang-undang yang telah dibuat lebih daripada tujuh dekad yang lalu itu.

Kelmarin, Wan Ji menjalani hukuman penjara selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lepas.

Janji ke-21 manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dirangka PH adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 berikutan ia undang-undang lapuk dan menyekat.