Seorang ahli perniagaan, Ong Kean Suan, 31 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dakwaan menyamar sebagai 'Tengku Ong' dan mengaku dirinya kerabat diraja Perak.

Kean Suan yang berasal dari Pulau Pinang didakwa melakukan kesalahan itu bagi mendapatkan diskaun bilik hotel mengikut kadar sama yang diterima pegawai kerajaan, bulan lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Mohd. Alias, tengahari tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, Kean Suan didakwa secara samaran menggunakan gelaran Tengku dan mengaku dirinya sebagai ahli keluarga diraja Perak.

Tertuduh didakwa menggunakan sekeping kad V.I.P yang tertera gelaran dan nama Tengku Ong Kean Suan.

Kad itu diguna ketika mendaftar masuk di kaunter eksekutif daftar masuk Hotel Thistle Johor Bahru, kira-kira jam 5.30 petang, 2 Februari lalu.

Kean Suan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali.

Timbalan Pendakwaraya, Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM8,000 bagaimanapun dibantah peguambela tertuduh, Gurmukh Singh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

5 April ini ditetapkan bagi penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.