Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian kanak-kanak berusia 20 bulan, Muhammad Azhari Zul Azri, akibat terjerut tali bidai di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, bedah siasat dijalankan pakar forensik dari Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Menurutnya, keputusan diperolehi selepas satu jam setengah.

BACA: Kanak-kanak maut terjerut tali bidai

"Bedah siasat telah dijalankan hari ini dari jam 11.30 pagi hingga pukul 1 tengahari. Punca kejadian disahkan akibat leher terjerut tali bidai. Tiada unsur jenayah. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian jam 6.50 petang semalam, Muhammad Azhari dikatakan terjatuh sebelum terjerut pada tali bidai langsir ketika bermain sendirian di sebuah sofa di rumahnya, di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Ketika kejadian, ibunya, Nor Yasmin Mat Yassin, 36 tahun, sedang solat Asar sebelum ternampak anaknya itu tergantung pada tali bidai.

Nor Yasmin kemudian menghubungi suaminya, Zul Azri Hashim, 39, yang ketika itu berada di tempat kerja.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar Al Muktafi Billah Shah namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Al Muktafi Billah Shah selepas solat Zohor tadi.

Keluarga mangsa tidak membenarkan media membuat liputan.