Seramai 31 mangsa yang terperangkap di atas Bukit Bendera sejak empat hari lalu berjaya dibawa turun dengan menggunakan helikopter hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar ketika mengesahkan kejadian berkata sejumlah 12 mangsa yang lain pula berjaya turun dengan menggunakan laluan bukit di kawasan itu.

Mangsa yang terdiri daripada kalangan penduduk, pekerja serta pengunjung tidak dapat turun kerana perkhidmatan kereta api dihentikan sementara selain laluan kenderaan terputus susulan kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, pengurus besar Perbadanan Bukit Bendera, Cheok Lay Leng memaklumkan pasukan penyelamat tiba di atas Bukit Bendera kira-kira jam 11 pagi ini dengan membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Beliau menambah pihak hotel yang berada di puncak bukit itu turut menyediakan penginapan, makanan bekalan air kepada mangsa sejak Ahad.

Operasi menyelamat disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).