Thailand mahu memperluaskan kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) meliputi Pahang dan Terengganu, bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi menerusi perdagangan antara kawasan selatan negara itu dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Supanat Sirintawinet, berkata walaupun IMT-GT diperkenalkan kira-kira 12 tahun lepas, namun hasil yang diperoleh menerusi sektor perdagangan antara kawasan yang terlibat masih kurang memberangsangkan.

"Jika ia diperluaskan ke Terengganu dan Pahang, saya yakin ia mampu merancakkan lagi perdagangan antara kawasan-kawasan yang terlibat, terutama di sekitar sempadan Thailand dan Malaysia," katanya menerusi jurubahasa ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam anjuran Konsulat Diraja Thailand di sini malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu Paitoon Songkaeo.

Supanat berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil dari Malaysia bulan lepas bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berkata perkara lain yang dibincangkan termasuk meluaskan jambatan di Sungai Golok, Rantau Panjang dan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Pekan Tak Bai dengan Pengkalan Kubor di Tumpat.

IMT-GT membabitkan 14 wilayah di Selatan Thailand iaitu Krabi, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Phattalung, Satun, Songkhla, Trang, Yala, Chumphon, Ranong, Surat Thani, Phang Nga dan Phuket manakala lapan negeri di Semenanjung Malaysia pula membabitkan Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Selangor.

Di Indonesia, 10 wilayah terlibat iaitu Aceh, Bangka-Belitung, Bengkulu, Jambi, Lampung, Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Sumatera Barat, Riau dan Kepulauan Riau di Sumatera.

Terdapat sejumlah 54 juta penduduk di kawasan IMT-GT.

-- BERNAMA