Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada unsur rasuah, ketirisan dan penyelewengan dalam pengurusan kontrak perolehan dan prosedur operasi standard (SOP) kawalan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata apa yang wujud hanyalah kelemahan pengurusan kontrak yang diperoleh tanpa kelulusan jawatankuasa dan proses dokumentasi yang tidak betul termasuk membabitkan urusan dengan anak syarikat Felda.

"Contohnya kontrak syarikat teknologi maklumat yang dimiliki peneroka yang membekalkan sistem maklumat yang dibuat terus dengan ibu pejabat Felda tanpa pengurusan kontrak yang mantap.

"Kami mendapati amalan dan perjanjian antara ibu pejabat dan anak syarikat ini tiada dalam kontrak atau tidak dikontrakkan dengan jelas semasa Audit dijalankan pada 2010 hingga 2012.

"Ia hanya bergantung kepada surat suruh, arahan kerja dan pesanan belian sebagai arahan atau dokumen rasmi. Maka kita telah minta Felda membuat dokumentasi dan kontrak dengan betul dan amalkan sistem amalan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini, pada Khamis yang antara lain memberitahu Felda akan memperbaiki dan menambah baik kelemahan tersebut yang akan dibentangkan dalam mesyuarat dalaman mereka minggu depan.

Nur Jazlan menjelaskan jika kelemahan tersebut tidak diatasi, masalah tatacara kewangan ketika proses audit akan terus berlaku dan berulang pada masa depan.

Dilapor, Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri dua mendapati Felda tidak menyediakan dokumen kontrak bagi 56 perolehan berjumlah RM183.13 juta dan dua daripada kontrak itu yang bernilai RM60.68 juta, belum ditandatangani.

Laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan antara Disember 2012 dan Februari 2013 mendapati secara keseluruhannya, pengurusan perolehan Felda kurang memuaskan.