Pahang tidak menerima sebarang aduan berhubung larangan pemakaian tudung bagi pekerja yang bertugas di bahagian depan di hotel-hotel di negeri itu, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata Pahang bukan sahaja sentiasa menghormati hak asasi individu tetapi juga amat menggalakkan sektor perhotelan menggaji pekerja bertudung untuk bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan.

"Larangan yang dibuat sebelum ini (oleh Persatuan Hotel Malaysia) memang tidak relevan langsung," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) sama ada isu pekerja wanita bertudung meninggalkan kesan terhadap sektor pelancongan di Pahang.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata pekerja bertudung bukan penghalang untuk menarik pelanggan ke sesebuah hotel sebaliknya ditentukan oleh beberapa faktor lain antaranya kecekapan, kebersihan dan keselamatan hotel terbabit.

Menjawab soalan Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail (BN-Chenor) tentang langkah yang diambil oleh pihak kerajaan negeri dalam memajukan Bukit Kertau, Maran sebagai titik tengah pemetaan Semenanjung Malaysia dan pusat pelancongan, Mohd Sharkar berkata beberapa tindakan telahpun diambil untuk ke arah itu.

"Sebagai makluman, buat masa ini tiada sebarang pewartaan kawasan trigonometri Bukit Kertau sebagai kawasan perlindungan. Bagaimanapun Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang akan menyediakan pelan warta kawasan bagi tujuan pewartaan sebagai kawasan perlindungan sekiranya ada permintaan daripada pihak yang berkenaan.

"Difahamkan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Maran sedang dalam proses permohonan pewartaan itu dengan status terkini sedang dalam tindakan siasatan dan penyediaan laporan oleh Penolong Pegawai Tanah Dearah.

"Selain itu pihak Pejabat Daerah dan Tanah Maran juga merancang untuk membina menara tinjau berserta tugu di puncak Bukit Kertau sebagai antara tarikan pelancongan di derah Maran," katanya.

Mohd Sharkar berkata Bukit Kertau juga diperkenalkan melalui acara Larian Kertau yang diadakan bersempena Pesta Air Chenor 2017 baru-baru ini.

-- BERNAMA