Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)dilantik sebagai anggota jawatankuasa kerja pusat MIC yang baharu dalam rombakan kecil parti itu.

Setiausaha Agung MIC A. Sakthivel memberitahu Bernama di sini hari ini, mereka ialah R. Vidyanathan (Adun Kahang), Datuk S. Mahadevan (Adun Gadek) dan L. Manickam (Adun Jeram Padang).

Beliau berkata pelantikan mereka berkuat kuasa hari ini.

Mereka menggantikan tiga pemimpin veteran MIC iaitu bekas naib presiden Datuk S. Veerasingham, bekas ketua biro pendidikan Prof Tan Sri T.Marimuthu dan bekas Pengerusi MIC Perak Datuk G. Rajoo yang dilantik pada 2009.

Langkah untuk membawa masuk muka baharu adalah sebahagian daripada pembaharuan dan proses pembinaan semula parti, katanya dan menurutnya perlembagaan parti membenarkan presiden parti melantik sehingga sembilan anggota CWC.

MIC kini mempunyai 41 anggota CWC, terdiri 23 anggota dipilih dan sembilan dilantik, serta pemegang jawatan tinggi parti yang termasuk presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden, setiausaha agung dan bendahari agung.