Tiga lagi bangkai gajah yang mati dipercayai akibat 'perbuatan khianat' dijumpai di kawasan hutan berdekatan Kalabakan di Tawau, bahagian pantai timur Sabah hari ini, menjadikan angka kematian dalam kejadian yang amat mengejutkan itu meningkat kepada 13 ekor setakat ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun berkata petugas Jabatan Hidupan Liar menemui bangkai gajah terbaru itu di sekitar kawasan yang sama, di mana 10 gajah yang mati ditemui sebelum ini, dan dimaklumkan kepadanya pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal yang diperoleh melalui pembedahan bangkai gajah berkenaan, punca kematian itu lebih cenderung ke arah perbuatan khianat atau akibat keracunan.

"Itulah petunjuk awal yang kita peroleh setakat ini, bagaimanapun kita masih menunggu keputusan atau bukti yang konklusif.

"Siasatan masih dijalankan dan ujian kimia masih belum diterima dan kita harap keputusannya dapat diperolehi secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Barisan 1Malaysia peringkat negeri Sabah di Dewan Sa'adah, Wisma MUIS yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Masidi berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru berhubung isu kematian 10 ekor gajah Borneo dalam tempoh dua minggu di Tawau.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Laurentius Ambu dipetik sebagai berkata semalam bahawa tujuh daripada gajah itu adalah jantan dan tiga betina dari satu kumpulan, yang seekor anak gajah berumur kira-kira tiga bulan didapati masih hidup di sisi seekor gajah yang dipercayai ibunya.

Masidi berkata kementeriannya memandang serius perkara itu dan meminta Setiausaha Tetap kementeriannya supaya mengambil alih tugas peneraju sebuah jawatankuasa petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat punca kematihan gajah Pygmy Borneo itu.

Katanya ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk membendung kejadian seumpama itu termasuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Kejadian ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan kematian gajah tersebut mendapat liputan media yang sama ada di dalam atau di luar negeri, dan pagi tadi, saya sendiri menerima panggilan dan ditemuramah secara langsung oleh BBC mengenai kematian gajah-gajah tersebut.

"Mereka juga amat simpati dan tersentuh dengan apa yang berlaku kerana soal sayang kepada binatang ini adalah satu sifat sejagat yang harus ada pada setiap manusia," katanya.

Masidi berkata kematian gajah itu pasti akan memberi kesan kepada industri pelancongan negeri Sabah yang kaya dengan tarikan alam semula jadi.

"Kalau kita tidak bendung perkara ini, ia akan menjadi kekangan industri pelancongan negeri kita kerana ramai pelancong yang datang ke sini kerana mereka mahu melihat gajah-gajah ini, dan apa yang kita mahu pertontonkan kepada mereka kalau gajah sudah habis (pupus).

"Walaupun ada jabatan tertentu yang dipertanggunjawabkan dalam soal konservasi, namun harus diingat gajah-gajah ini adalah milik kita dan adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat menjaganya," katanya sambil menyifatkan insiden kematian 13 gajah itu sebagai satu pengajaran untuk semua.

Masidi berkata dianggarkan tinggal hanya sekitar 1,000 ekor gajah yang ada di kawasan hutan terbabit, tidak termasuk gajah di tempat yang lain.