KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memastikan komitmen yang dibuat pada Perjanjian Paris 2015 tercapai dan menjadikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) satu kenyataan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata peralihan dalam dasar Malaysia baru-baru ini untuk membenarkan eksport tenaga boleh diperbaharui komersial bakal menjana manfaat ekonomi.

"Dengan melabur semula pendapatan daripada inisiatif ini kepada pembangunan negara, ia menyasarkan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyatnya.

"Malaysia sedang memasuki Fasa 2 Hala Tuju SDG yang serentak dengan Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025," katanya ketika berucap pada 'Conference of Speakers and Presiding Officers' Komanwel (CSPOC) Ke-27 di Kampala, Uganda pada Khamis.

Wan Junaidi berkata matlamat SDG 2015 dan Perjanjian Paris 2015 adalah dua perjanjian antarabangsa berasingan tetapi kedua-dua perjanjian berkongsi matlamat bersama yang paling penting untuk menggalakkan kelestarian sejagat dan menangani cabaran alam sekitar yang rumit dihadapi manusia, menggalakkan kemakmuran sambil menjaga keselamatan planet ini.

Pada Sept 2015, PBB memperkenalkan SDG yang menetapkan 17 matlamat sejagat yang diterima oleh semua negara anggota PBB sebagai sebahagian daripada Agenda Pembangunan Mampan 2030, suatu komitmen sejagat untuk mencapai sebuah dunia yang lebih mampan dan saksama menjelang 2030.

Beliau berkata dengan sentuhan tempatan dalam SDG, beberapa projek dilaksanakan di 57 kawasan Parlimen di Malaysia dari 2020 hingga 2022 , menangani kebimbangan kumpulan rentan seperti Orang Asli, petani, pekerja perikanan skala kecil, penduduk B40, ibu atau bapa tunggal dan warga emas.

Wan Junaidi juga berkata peranan Sarawak dalam menyumbang kepada matlamat Malaysia menerusi inisiatif seperti hala tuju ekonomi berasaskan hidrogen, Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) dan lain-lain inisiatif untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui.

Sementara itu Wan Junaidi berkongsi mengenai komitmen Malaysia terhadap Protokol Montreal dan Perjanjian Paris 2015 menerusi beberapa inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan mengekalkan litupan hutan sebagaimana dijanjikan dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, 1992.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai langkah Parlimen memasang sistem fotovolta untuk mendapatkan tenaga suria bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan Bangunan Parlimen dan pemasangannya dijangka siap dan beroperasi menjelang pertengahan tahun ini.

"Kami menjangkakan penjanaan tenaga dianggarkan mencecah 1.9 GWh setahun dan akan menghasilkan penjimatan bil elektrik sebanyak RM693,000 setahun, " katanya.

CSPOC yang berlangsung dari 3 hingga 6 Jan menyasarkan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan negara peserta dan mengetengahkan kepentingan Komanwel sebagai sebuah platform untuk memupuk kefahaman dan kerjasama dalam kalangan negara anggota.

-- BERNAMA