Tindakan di bawah Akta Hasutan mungkin diambil terhadap kumpulan yang mengadakan bantahan di hadapan sebuah gereja di Taman Medan semalam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sensitiviti agama, sama ada agama Islam mahupun agama lain.

"Tidak kira.. tidak kira siapa. Sesiapa yang menyentuh mana-mana agama, agama Islam terutamanya atau mana-mana agama lain tertakluk kepada Akta Hasutan," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Alumni ESQ Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin.

"Sudah tentu.. sudah tentu tindakan harus diambil. Ya.. sesiapa sahaja. Saya sangat buta warna (tidak rasis), dan polis juga sangat buta warna. Sesiapa sahaja... tindakan harus diambil dan akan diambil," katanya lagi.

Ditanya sama ada tindakan disiplin akan turut diambil pada ahli UMNO yang terlibat, Ahmad Zahid berkata UMNO merupakan parti yang menghormati agama lain, oleh itu mereka yang terlibat harus menanggung akibat daripada tindakan mereka.

"Sebab mereka melanggar undang-undang dan dalam UMNO kita perlu menghormati agama lain. Oleh itu, mereka perlu tanggung akibatnya," jelasnya.

Kenyataan itu, walau bagaimanapun jelas bercanggah dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini yang berkata protes tersebut tidak mengandungi unsur-unsur hasutan.

BACA: Tiada unsur hasutan dalam bantahan gereja Taman Medan - KPN

Menurut Khalid, seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider, bantahan tersebut diadakan berhubung isu lokasi dan tidak menyentuh tentang agama Kristian.

Sekumpulan 50 penduduk Taman Medan di Petaling Jaya pada Ahad dilapor melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sebuah gereja yang baru sahaja dibuka di situ.

Mereka turut mempersoalkan lambang salib yang diletakkan di luar gereja berkenaan selain menuntut ia diturunkan kerana lambang suci penganut Kristian itu dikatakan boleh mempengaruhi minda penduduk muda beragama Islam di sana.