Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mempunyai keupayaan infrastruktur dicadang mempertimbang untuk menceburi bidang telekomunikasi sebagai penyedia infrastruktur jalur lebar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkenaan pendirian kerajaan tentang kemungkinan TNB menjadi syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus mampu memecahkan monopoli syarikat gergasi telekomunikasi yang lain di negara ini.

Menurut Gobind, TNB mampu bersaing dalam bidang telekomunikasi kerana infrastruktur yang dimiliki syarikat itu mencukupi.

“TNB boleh menggunakan infrastruktur sedia ada, iaitu rangkaian fiber optik yang sudahpun dibangunkan di seluruh negara, terutamanya di Semenanjung Malaysia.

“Jadi saya telahpun adakan perbincangan dengan TNB, supaya mereka boleh jadi pembekal infrastruktur terbesar.

"Cuma saya dah sebut semalam, kalau ada MoU (perjanjian persefahaman) antara TM (Telekom Malaysia Bhd) dan TNB, satu perkara yang akan berlaku, kita lihat akan ada satu gergasi monopoli,” katanya lagi, merujuk kepada MoU antara TM dan TNB mengenai cadangan terperinci Pelan Fiber Seluruh Negara, yang ditamatkan pada 23 Julai lepas.

Gobind berkata, sekiranya tiada MoU antara dua syarikat berkenaan, maka mereka akan saling bersaing kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, dan seterusnya memberi pilihan yang lebih untuk pengguna.