Tren generasi baharu Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV) bagi Rapid KL laluan Kelana Jaya diperkenalkan kepada orang ramai dan beroperasi secara berperingkat bermula hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Zohari Sulaiman, dua unit tren akan beroperasi setiap bulan sehingga kesemua 14 unit pengangkutan awam itu diguna pakai sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Jelasnya, penambahan tren berkenaan mampu meningkatkan kapasiti sehingga 30 peratus penumpang bagi laluan berkenaan.

"Tren ini beroperasi dua buah bulan ini dan dua bulan bulan Januari secara berperingkat sehingga kesemua 14 buah tren dapat diguna pakai pertengahan tahun 2017," katanya dalam sidang media selepas bersama-sama media menaiki tren genenerasi baharu KLAV di Stesen LRT Ampang Park di sini hari ini.

Jelasnya, penambahan gerabak berkenaan menjadikan jumlah tren sehingga pertengahan tahun depan meningkat kepada 49 unit.

"Ia akan dapat meningkatkan kapasiti pengoperasian kerana pada masa ini kapasiti operasi bagi pengangkutan laluan Kelana Jaya adalah melebihi 150 peratus," tambahnya.

Ia juga selaras dengan hasrat Prasanara dan kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan awam sebagai pilihan utama dalam aktiviti harian.

"Dengan adanya gerabak baharu, maka load faktor akan berkurangan bawah 100 peratus. Ini satu keistimewaan atau kemudahan untuk menggunakan laluan Kelana Jaya dengan lebih selesa," kata beliau.

Pada masa ini penumpang laluan Kelana Jaya mencatatkan 190 ribu orang dalam sehari.

"Kita sasarkan peningkatan penumpang 300,000 sehari sebab pada masa ini kita baru mencecah lebih kurang 260,000 orang, jadi saya harap ia akan cecah lebih 300,000 penumpang nanti, "katanya lagi.

Tren empat gerabak tanpa pemandu itu direka Bombardier Transport dengan dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti peta laluan dinamik yang menunjukkan arah perjalanan, serta stesen sebelum dan selepas.

Setiap gerabak dilengkapi dengan unit kamera litar tertutup dan dan ruang tempat duduk khas untuk orang kelainan upaya (OKU).

Tren generasi baharu ini menggunakan kepakaran kejuruteraan minyak pelincir yang yang bertindak mengurangkan bunyi bising di antara tren dan permukaan rata.

Penggunaan LED pada lampu hadapan dan dalaman tren mampu menjimatkan tenaga elektrik serta berkonsepkan mesra alam sekitar.

Tren baharu baharu empat gerabak ini akan menggantikan tren dua gerabak sedia ada di mana kapasiti tren dua gerabak banya boleh membawa 472 penumpang.

Set tren baharu ini akan mula digunakan secara berperingkat mengikut jadual penghantaran pembekal yang dijangka diterima sepenuhnya pada pertengahan 2017.