Selepas 10 hari diburu, polis akhirnya memberkas ketua ‘Tuhan Harun’ iaitu Harun Mat Saat dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Tangkak, Johor, petang Rabu.

Harun, 47, dikehendaki bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Allahyarham Ahmad Raffli Abd Malik 10 November lalu.

Harun ditangkap bersama isteri ketiganya Azida Mohd. Zol, 30 di No 76, Jalan Puteri 2/15 Taman Bandar Baru Tangkak, Ledang pada 3.30 petang.

Turut diberkas seorang pengikut Tuhan Harun iaitu Nor Hairi Harun, 41, di Jalan Hospital, Tangkak.

Lelaki berkenaan dipercayai turut dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Raffli yang ditembak oleh seorang daripada tiga suspek yang tidak dikenali di rumahnya di Indera Mahkota 2, dekat sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani mengesahkan tangkapan tersebut.

Sementara itu, polis menahan sembilan pengikut ajaran Tuhan Harun bagi mendapatkan keterangan, setelah kesemua individu terbabit tampil menyerah diri.

Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontigen Pahang, SAC Zakaria Ahmad berkata, siasatan menyeluruh sedang dibuat agar kes pembunuhan Ahmad Raffli diselesaikan dengan segera.

Daripada 31 pengikut ajaran Tuhan Harun, tujuh daripada mereka telah dikeluarkan waran tangkap .

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berangkat menziarahi keluarga Ahmad Raffli menyifatkan insiden pembunuhan itu adalah suatu perbuatan yang kejam.

Baginda turut mengingatkan agar para pegawai dan penguatkuasa JAIP untuk terus berkhidmat dengan berdedikasi walau terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko.

Dalam kejadian 10 November lalu, Ahmad Raffli ditembak 3 das pada jarak dekat di kediamannya di Indera Mahkota 2.

Allahyarham meninggalkan seorang balu bersama 4 orang cahaya mata.