MEMANG luar biasa sambutan hari lahir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan pemimpin yang genap usianya 94 tahun.

Bukan sahaja ucapan daripada ribuan netizen, malah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut serta dalam menitipkan ucapan selamat dan mendoakan kesihatan yang baik.

Mengulas ucapan yang diterima beliau hari ini, Dr Mahathir yang mencipta rekod sebagai pemimpin tertua di dunia meluahkan rasa terharunya dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dari pelbagai lapisan.

Penghargaan kepada semua yang mengirimkan ucapan dan doa diterjemahkah Dr Mahathir di laman Facebook peribadinya.

“Sejak dari pagi tadi hingga ke petang, saya masih menerima ucapan dan kiriman doa sempena hari jadi saya hari ini.”

“Saya amat terharu dan banyak-banyak berterima kasih kepada semua yang telah mengirimkan ucapan,” kata Perdana Menteri yang kembali menerajui negara kali kedua selepas Pilihan Raya Umum tahun lalu.


Di Facebook beliau juga disertakan video berdurasi selama 3 minit 52 saat yang merangkumkan ucapan termasuk selebriti antarabangsa Kris Dayanti dan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza , anggota keselamatan, pelajar sekolah, kakitangan swasta dan sekumpulan wartawan Astro AWANI.

Dr Mahathir turut meluahkan rasa terharunya pada video tersebut dengan berkata: “Ramainya yang ucap selamat hari jadi kepada saya, saya tidak sangka ada reaksi yang begitu positif.”