Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan takziah kepada keluarga arkitek profesional yang juga pereka Menara Berkembar Petronas, Cesar Pelli, yang meninggal dunia pada Jumaat.

Menurut Tun Dr Mahathir, beliau begitu sedih apabila mendengar khabar tentang arkitek berkenaan.

“Saya merasa sedih apabila menerima berita kematian pereka yang mereka bangunan Menara Berkembar Petronas, Cesar Pelli dari Argentina.

“Mendiang yang berpangkalan di New York datang ke Kuala Lumpur hanya untuk mereka bentuk bangunan ikonik Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan rasa takziah kepada keluarga mendiang dan rakan-rakan mendiang," kata Dr Mahathir menerusi sebuah video di laman Twitter.

Pelli meninggal dunia pada usia 92 tahun dan mendiang meninggalkan kesan besar dalam industri arkitek kontemporari.

BACA: Cesar Pelli, pereka Menara Berkembar Petronas meninggal dunia

Melanjutkan pengajian dalam jurusan senibina, nama Pelli amat sinonim dengan hasil kerjanya menghasilkan reka bentuk beberapa buah bangunan tertinggi di dunia dan pelbagai lagi mercu tanda bandaraya utama.

Selain Menara Berkembar Petronas, Pelli juga turut terkenal dengan magisnya kerana mereka bentuk Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London dan kerja-kerja ubah suai muzium seni moden di New York.