BUENOS AIRES: Sebuah rakaman memaparkan objek aneh berbentuk bulat berlegar-legar di wilayah Tucuman, Argentina mencetuskan tanda tanya.

Ia dikatakan turut bergerak ke arah individu yang merakamkan insiden pelik tersebut.

Beberapa pengguna media sosial mendakwa ia sebagai objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) dan ada yang percaya ia adalah corak cuaca atau berpunca daripada kebakaran.

Terdapat juga pengguna yang cuba berjenaka dengan menyatakan ia mungkin sekumpulan 'nyamuk makhluk asing'.

"Bentuk seperti lingkaran berwarna hitam itu mungkin disebabkan pembakaran, namun tiada tanda berlaku kebakaran di sekitar kawasan tersebut," kata seorang lagi individu yang cuba membuat teori sendiri.

Difahamkan, penampakan objek terbang itu berlaku selepas 'UFO' dilihat di ruang udara bandar Deyang di China.

Kejadian itu turut mencetuskan panik apabila terdapat penduduk yang bimbang ia mungkin petanda makhluk asing cuba menceroboh bumi. - Agensi

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian