PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe menghadiahkan sehelai jersi pasukan Piala Dunia Jepun kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa.

Jersi berwarna biru tua dengan tertera nama MAHATHIR beserta nombor tujuh di belakang jersi tersebut, adalah sempena pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Ketujuh.

Dr Mahathir menerima jersi itu selepas sidang media yang diadakan di Jepun dalam rangka lawatan kerja pertama beliau sebagai perdana menteri.

Ia juga lawatan sulungnya ke luar negara sejak dilantik menjadi perdana menteri berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum, bulan lalu.

Sementara itu, Dr Mahathir pula menghadiahkan buku mengenai dirinya kepada Abe dan berharap pemimpin Jepun itu dapat mengenalinya.

Pertukaran hadiah antara Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Rata-rata netizen meluahkan rasa keterujaan di platform sosial media mengenai pemberian hadiah tersebut.