Mesyuarat Agung Bulan Sabit Merah Malaysia ((BSMM) pada 24 Jun lepas bersetuju memilih Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Pengerusi Kebangsaan BSMM menggantikan Tunku Shahriman Tunku Sulaiman, sekaligus mencatat sejarah sebagai wanita pertama menerajui BSMM.

Buat Tunku Puteri Intan Safinaz, pelantikan beliau merupakan satu penghormatan yang besar bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada kaum wanita.

Namun buat Tunku Temenggong Kedah itu, beliau berharap agar masyarakat dapat melihat keupayaan seseorang individu itu bukan berdasarkan jantina semata-mata, tetapi berdasarkan kualiti dan kepimpinan.

“Dari segi kualiti insyaAllah dan amanah saya akan pikul dengan sebaik mungkin. Dari segi gender saya mewakili kaum wanita dan ini adalah satu break through in a way, personal for me as well, responsibility, dan saya berbangga.

“Pada saya isu ini tidak ada, bukan satu isu, but it is an issue, it is an achievement but it isn't if you know what I mean…it's a two side of the same coin.

“In a sense we are a community of men and women, therefore I think we need to look beyond the gender in a sense because our members are men and women,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Tongkat Kuasa Presiden Kebangsaan BSMM di sini hari ni.

Beliau menggantikan Tunku Shahriman, yang telah menerajui badan itu selama 16 tahun bermula 2002 dan telah dilantik menjadi Penasihat Kehormat Kebangsaan BSMM.

Dalam ucapan sulungnya, Tunku Puteri Safinaz berkata, walaupun BSMM itu satu badan sukarelawan, beliau mengharapkan agar kesemua ahli dapat mengamalkan budaya kerja yang beretika, berintegriti, serta profesional selari dengan prinsip asas penubuhannya.

Beliau juga mempunyai visi dan misi untuk meningkatkan tahap partisipasi sukarelawan BSMM dalam kalangan belia negara ini.

“Tumpuan saya dan juga Bulan Sabit Merah bukan saja di Malaysia dan dunia, The International Federation of Red Cross and Red Crescent Society telah membuat penekanan kepada keaktifan remaja, ataupun youth related activities sebagai salah satu daripada visi Bulan Sabit Merah di peringkat sedunia.

“Saya rasa masa depan Bulan Sabit Merah would be still maintaining the essential work that we do to help during floods and emergency situations of flood and other national disasters, but at the same time it is about instilling youth activism among Malaysians,” katanya lagi.

Sejak BSMM ditubuhkan di negara ini tujuh dekad lalu, terdapat 300,000 ahli menyertainya dengan dua pertiga daripadanya adalah golongan belia.