Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi yang berjaya mengubah lanskap sosioekonomi negara khususnya nasib kaum Melayu dan Bumiputera.

Ia berikutan banyak perubahan dilakukan UiTM yang sebelum ini dikenali dengan nama Institut Teknologi Mara (ITM) sebagai sebuah institusi pendidikan yang berjaya.

"Hari ini perubahan berlaku dan kalau kita hendak kenal pasti satu badan, satu institusi yang jadi penyumbang sebenar, tidak lain dan tidak bukan ialah UiTM.

"Sebab itu pada saya, sebagai Presiden UMNO, saya tidak pernah tidak sebut UiTM dalam ucapan dasar Presiden sebab signifikan UiTM lahir kerana wadah perjuangan UMNO," kata beliau semasa berucap merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan Ulang Tahun UiTM Ke-60 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata kelahiran UiTM disifatkan dekat di hatinya.

"Pengasas ITM ialah ayahanda saya. 60 tahun lalu telah dibuat satu langkah melahirkan golongan cerdik pandai kalangan Melayu dan bumiputera yg boleh ubah negara kita supaya pembangunan negara lebih seimbang. Ketidakseimbangan ketika itu sebab kan beberapa insiden berlaku," jelasnya.

Tambahnya, beliau adalah menteri yang bertanggungjawab ketika itu dalam memastikan ITM ditransformasi menjadi sebuah universiti.

"Bagi saya waktu saya jadi Menteri Pendidikan (ketika itu), langkah saya ambil untuk bentang Akta Mara (ITM) merupakan detik transformasi bermakna sebab ITM dapat dimartabat sebagai sebuah universiti.

"Saya ingat masa itu beberapa kumpulan wakil ITM nak sangat dinaikkan sebagai sebuah universiti," kata beliau lagi.

Perdana Menteri pada masa sama menyifatkan UiTM berjaya mencapai empat sasaran sebagai sebuah institusi pendidikan.

"Pertama, akses kepada pendidikan tinggi. Ini kayu ukur sebuah negara maju, sebuah bangsa berjaya dan sebuah tamadun hebat, juga diukur dari segi bilangan kohortnya yang dapat akses pendidikan," tambahnya lagi.

Selain itu, akses pendidikan berkualiti UiTM turut diukur melalui elemen objektiviti, subjektiviti, dan kebolehpasaran.

"Kita bangga bahawa sebagai sebuah negara dan saya telah melawat banyak negara mungkin dari segi sosial mobiliti Malaysia adalah antara terbaik di dunia kerana dalam satu generasi saja, nelayan sokongan hari ini jadi org berjaya, menteri, ketua menteri kerana dasar mobiliti," jelasnya.

Pada masa sama, kejuruteraan sosialnya juga membangunkan masyarakat secara seimbang.

"Prinsipnya perkongsian kekayaan negara secara adil dalam negara. Siapa pun ada peluang berjaya walau duduk di kawasan contoh di Ulu Tembeling.

"Peluang ini mesti lahir prinsip keadilan sosial utk semua. Keadilan sosial mesti diberi peluang saksama," kata Datuk Seri Najib.

Sebagai kerajaan, kata Datuk Seri Najib, beliau akan terus menyokong pembangunan UiTM.

"Bukan saya cakap saja. Sejak dari zaman ayah saya lagi. Saya akan sokong bersama Menteri Pendidikan Tinggi untuk bekerjasama," ujarnya.