Pas memberi jaminan bahawa kerajaan akan memperoleh sokongan majoriti dua pertiga sekiranya setuju menerima syarat pindaan Perlembagaan yang dituntut blok pembangkang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tiga syarat itu termasuk menurunkan had minimum mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, pendaftaran secara automatik dan menurunkan had minimum calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Sekarang ini, cadangan kerajaan hanya satu, iaitu Perkara 119(1) iaitu menurunkan umur 21 kepada 18 tahun. Itu sahaja.

“Jadi sebagai cadangan lain daripada pembangkang (Barisan Nasional, Pas dan Gabungan Parti Sarawak), kita cadangkan merangkumi tiga aspek ini merangkumi umur minimum, pendaftaran automatik dan umur minimum calon,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga memberitahu, esok Perdana Menteri akan menyampaikan taklimat kepada semua Ahli Parlimen berkenaan undi 18 tahun ini.

“Kita tunggu pembentangan pindaan itu pada 16 Julai ini, kalau kerajaan penuhi tiga syarat tambahan itu kita akan sokong, jika tidak pembangkang akan kemukakan usul persendirian.

“Kita akan debat dulu sebelum sokong, bukan terus sokong tanpa debat. Pembangkang mengalu-alukan pindaan ini,” ujarnya.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju anak muda berumur 18 tahun berhak mengundi, kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri juga turut bersetuju dengan pendaftaran pengundi berumur 18 tahun secara automatik.