Menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula 2 Januari ini, Aiman Azmi, 14 tahun bersama empat adiknya yang berusia antara 8 hingga 12 tahun hanya mampu menyiapkan sepersalinan pakaian sekolah lama dua tahun lalu.

Dengan keadaan keluarga yang hanya bergantung hidup kepada hasil menjual daun nipah kering untuk menghasilkan rokok daun, Aiman dan adiknya Amri, Asmira serta Haiqal tidak mampu untuk meminta persalinan persekolahan baharu.

Namun, dengan inisiatif Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 3rd Force Perlis, hampir 50 anak-anak termasuk Aiman dan adiknya menerima bantuan pakaian seragam sekolah lengkap beserta beg dan alat tulis baharu untuk digunakan pada sesi persekolahan akan datang.

Inisiatif tersebut digerakkan oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah UniMAP, Ami Nurul Nazifah Abdullah bersama-sama warga kerja Piskanita UniMAP yang diterajui oleh Pengerusinya Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zain.

Perkara itu setidak-tidaknya mampu menghadirkan senyuman pada wajah kanak-kanak tersebut.

Menurut Ami Nurul Nazifah, bantuan diperolehi dari pelbagai pihak dalam bentuk wang tunai dan barangan manakala senarai serta saiz keperluan pelajar diperolehi daripada 3rd Force Perlis.

"Pembahagian tugasan dibuat sejak dua minggu lalu diikuti proses mengumpul dan membungkus peralatan persekolahan mengikut lokasi yang meliputi kawasan Beseri, Kuala Perlis, Kangar dan Pauh manakala proses menyerahkan sumbangan dimulakan semalam dan hari ini," katanya ketika ditemui AWANI Rangers UniMAP.

Selain Aiman Azmi, turut ceria menerima sumbangan persekolahan ialah Aiman Asri, 14 yang tinggal bersama datuk dan neneknya di Kampung Wai Kuala Perlis selepas ayahnya hilang sewaktu keluar menangkap ikan di laut.

"Dengan bantuan yang diterima ini, saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi pelajar yang berjaya. Terima kasih UniMAP," katanya.

______________________________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Siti Nor Aisyah Rosli dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) suntingan Suhana Abdul Mutalib

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UniMAP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)