Tidak wujud isu usia calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Menurut Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perlu ada gandingan antara tua dan muda di mana beliau percaya kepimpinan parti telah membuat penilaian menyeluruh dalam mencalonkan Karmaine.

“Dalam setiap PRK atau PRU, akan ada banyak calon yang diketenghkan. Lazimnya, ia merupakan gandingan yang tua dan yang muda. Ada Syed Saddiq, boleh ada Tun Dr Mahathir Mohamad juga.

"Tak boleh semua anak muda atau semua tua. Perlu ada gandingan bersama,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Ketua Armada itu, pemuda PH akan memberi sokongan penuh kepada Karmaine seperti mana yang dilakukan kepimpinan parti dan ahli veteran terhadap calon muda PH pada PRK Semenyih lalu.

“Saya sendiri kenal calon Karmaine. Dia seorang yang kuat bekerja, dia juga salah seorang imam di surau saya sebelum ini dan dia juga Yang DiPertua (YDP) di sekolah ibu saya bertugas. Dia bekerja keras, profesional, sangat alim dan bekerja kuat.

“Saya rasa itu penilaian menyeluruh yang dilakukan kepimpinan parti. Sebab itu Armada akan beri sokongan penuh dan saya selaku Ketua Pemuda PH akan beri sokongan penuh kepada calon ini. Sama sahaja seperti sokongan penuh yang diberi pimpinan tertinggi dan golongan veteran kepada calon anak muda semasa PRK Semenyih,” jelasnya.

Karmaine, 66, yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai diumumkan sebagai calon PH bagi mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

Pada pilihan raya umum yang lepas, beliau bertanding di kerusi Parlimen Pontian, namun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Maslan dari Barisan Nasional.

Ahmad menang tipis dengan memperoleh 21,232 undi, manakala Karmaine meraih 20,299 undi.