Seorang wanita warga emas cekal menjaga suami yang terlantar dan tiga anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Sungai Belida, Guar Chempedak di sini.

Walaupun tenaganya tidak sekuat mana, Meriam Ibrahim, 63, tidak mengeluh menumpukan sepenuh perhatian kepada suaminya Halim Talib, 69, yang tidak lagi boleh menguruskan diri.

Halim yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah hanya mampu terbaring lemah sejak Mac lalu.

Meriam berkata, sehingga kini, pihak hospital tidak dapat mengesahkan jenis penyakit yang dialami Halim.

"Selain suami saya juga perlu jaga tiga anak OKU yang masing-masing berumur 28, 33 dan 37 tahun.

"Dulu mereka lahir dalam keadaan normal namun sebab mengalami demam panas yang berlarutan mereka disahkan mengalami kecacatan akal sejak kecil.

"Tiga beradik itu tidak boleh berkomunikasi namun memahami apa yang diperkatakan orang sekeliling. Mereka juga kerap alami sawan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Dia ditemui ketika kunjungan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, yang turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan harian dan barangan dapur.

Meriam berkata, anak bongsu lelaki mereka yang berusia 24 tahun menjadi tempat mereka bergantung kerana hanya dia yang mampu bekerja di sebuah kilang berhampiran.

Dia mengakui, keperluan kewangan mereka sekeluarga sangat tinggi kerana suaminya bergantung kepada susu khas yang berharga RM50 setin yang hanya bertahan empat hari.

Walaupun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Agro Bank 2005111000166975 atas nama Meriam Ibrahim.