Seorang pekerja warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya awal bulan ini.

Tertuduh, Soo Weng Lai, 32 tahun, didakwa membunuh Phyoe Phyoe kira-kira jam 6.30 petang 2 September lalu di sebuah rumah di Laluan Sri Pengkalan, Batu Gajah.

Tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak faham bahasa Melayu dan Inggeris.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf kemudiannya menetapkan tarikh 14 November depan untuk sebutan semula kes dan melantik jurubahasa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nor Fairoz Abdul Mutalib.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berumur 22 tahun dijumpai terbaring di dalam bilik pertama rumah sewa mereka dan terdapat kesan darah di bahagian dadanya.

Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menjumpai senjata, iaitu satu gunting, di lokasi kejadian, dipercayai digunakan oleh suspek.

Laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) mendapati punca kematian akibat tusukan objek tajam di dada si mati.