Masalah kekurangan guru di negara ini berada di tahap yang masih boleh diuruskan, jelas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Tegasnya, isu nisbah guru dan murid sentiasa menjadi perhatian kerajaan dari masa ke masa.

“Walaupun kita katakan kita kekurangan guru, tetapi tidaklah sampai tiada guru di dalam kelas. Cuma apa yang berlaku, wujud kekosongan dalam subjek-subjek tertentu, contohnya subjek opsyen.

"Apabila terjadi kurang guru untuk subjek opsyen, akan digantikan oleh guru subjek yang bukan opsyen," kata Maszlee ketika ditemu ramah Astro AWANI pada Selasa.

Beliau mengulas isu dibangkitkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengenai jumlah guru di Malaysia yang masih belum mencukupi dalam memenuhi keperluan dan jumlah pelajar.

Bagi mengatasi masalah itu, Maszlee berkata, kementerian memberi pilihan kembali kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran tertentu.

Beliau memberi contoh, guru yang mempunyai kemahiran yang baik dalam Bahasa Inggeris akan diberikan pilihan untuk mengajar subjek itu dan diberikan latihan peningkatan kemahiran.


Isu bilangan murid dan jumlah guru bukanlah satu jaminan untuk memastikan aspek pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan baik, tambahnya.

Maszlee memberikan contoh di Jepun yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai dalam bilik darjah jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah.

“Meskipun terdapat hampir 40 hingga 50 murid dalam satu bilik darjah di Jepun, namun mereka dapat mengawalnya dengan nilai dan disiplin yang mereka terapkan.”


Presiden NUTP, Kamarozaman Abdul Razak dalam program Komen Tengahari di Astro AWANI pada Selasa menegaskan yang jumlah nisbah yang terbaik di Malaysia antara guru dan murid ialah 1:25 atau 1:30.

Ini penting bagi memastikan guru mempunyai fokus dalam pengajaran dengan mengambil kira keperluan guru yang perlu membentuk nilai manusiawi di sekolah.