Bekas penyelidik Presiden PKR, Muhammed Yusoff Rawther akan terus mengambil tindakan sivil terhadap bekas majikannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan dakwaan gangguan seksual yang dilakukannya sebelum ini.

Menurut Muhammed Yusof, beliau kecewa dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 14 Januari lalu yang menyatakan bahawa tidak akan mendakwa seorang ahli politik yang dinamakan dalam satu kes serangan seksual, atas alasan, tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

“Saya kecewa dan marah dengan keputusan tersebut dan telah menemui peguam saya dua hari lalu untuk membincangkan tindakan lanjut yang perlu diambil,” katanya dalam sidang media di pejabat peguamnya, Haniff Khatri pada Jumaat.

Sementara itu, Haniff berkata, pihaknya masih mahu menuntut penjelasan daripada pihak AGC mengenai dua perenggan yang mengelirukan dalam kenyataan akhbar pada 14 Januari lalu.

Kata Haniff, penjelasan lanjut yang dituntut beliau dan anak guamnya ialah merujuk pada perenggan empat dan enam kenyataan itu.

“Secara keseluruhan, kami telah menghantar surat pada pejabat Peguam Negara untuk pohon penjelasan yang terkandung dalam kenyataaan tersebut dan memohon tarikh temujanji dengan Peguam Cara dalam tempoh tujuh hari bermula esok.

“Bagaimanapun tindakan sivil akan tetap dibuat selepas penjelasan dengan pejabat Peguam Negara termasuk saman sivil ke atas Anwar,” kata beliau.

Perenggan keempat yang dirujuk Haniff ialah: "Selepas penilitian berhati-hati terhadap semua bukti yang dikumpul dalam kertas siasatan yang telah dihantar oleh PDRM, kami menemui perbezaan fakta bahan yang tidak boleh menyokong pendakwaan terhadap sesiapa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau untuk perkara di bawah mana-mana seksyen lain akta tersebut”.

Jelas Mohamed Haniff, perenggan keempat itu mengelirukan kerana daripada segi perundangan, kuasa pendakwa raya terletak pada Peguam Negara tapi dalam membuat keputusan sama ada pertuduhan dilaksanakan atau tidak sahaja.

“Mereka tidak boleh buat kenyataan yang seolah-olah daripada mahkamah, jadi perenggan keempat ini perlu penjelasan lanjut,” jelas beliau.


Sementara perenggan keenam yang dibaca Haniff ialah seperti berikut: “Dalam keadaan ini kami bersetuju dengan cadangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kes ini ditutup. Konsisten dengan amalan yang diamalkan penyiasatan boleh dibuka semula jika dan ada bukti baharu diperolehi."

Tuntutan penjelasan terhadap perenggan enam ini, kata beliau, susulan wujudnya keanehan daripada kenyataan dan tindakan polis iaitu tiada kes jenayah tetapi tiga fail termasuk kes Muhammed Yusoff di bawa kepada pejabat Peguam Negara pada 6 Januari lalu.

“Apabila polis bawa fail, maknanya wujud persepsi ada kes. Kenapa Peguam Cara mengatakan polis mencadangkan kes ditutup sedangkan tindak tanduk polis kelihatan kes itu ada?” soal Haniff lagi.

BACA: "Mahu saman saya? Bring it on..." - Yusof Rawther