Kerusi Parlimen Kalabakan di Sabah merekodkan bilangan calon bertanding paling ramai iaitu tujuh orang pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir semalam, namun penyandang Datuk Abdul Ghapur Salleh daripada Barisan Nasional (BN) mampu menang dengan majoriti 14,221 undi.

Abdul Ghapur yang mempertahankan Kalabakan bagi penggal keempat memenangi kerusi itu tanpa ditandingi pada 2004 dan 2008.

Kali ini, lima pencabarnya termasuk empat calon Bebas hilang wang deposit pilihan raya selepas gagal meraih 1/8 daripada jumlah undi keseluruhan.

Mereka ialah Malvine Reyes daripada Parti Reformasi Sabah (STAR) yang hanya memperoleh 603 undi serta calon Bebas iaitu Mohd Manuke (1,313 undi), Siamsir Borhan (891), Freedie Japat Anak Simol (137) dan Yahya Zainal (132).

Pencabar terdekat calon PAS Usman Madeaming memperoleh 8,904 undi.

Sementara itu daripada 24 kerusi parlimen yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, BN menang 18 kerusi iaitu 13 di Sabah (Kudat, Tuaran, Putatan, Kimanis, Ranau, Pensiangan, Silam, Kota Marudu, Sepanggar, Beluran, Libaran, Kinabatangan dan Tawau), tiga di Sarawak (Mas Gading, Santubong dan Sri Aman) serta masing-masing satu di Perak (Tapah) dan Selangor (Hulu Selangor).

Kerusi selebihnya dimenangi pakatan DAP-PKR-PAS iaitu dua di Kedah (Alor Setar dan Sungai Petani), dua di Selangor (Kota Raja dan Sepang), masing-masing satu di Pulau Pinang (Batu Kawan) dan Kuala Lumpur (Bandar Tun Razak).

BN mempertahankan kerusi Tapah menerusi penyandang Datuk M. Saravanan yang memperoleh majoriti 7,927 undi mengalahkan calon PKR, K. Vasantha Kumar (12,743 undi), Shaharuzzaman Bistamam daripada parti Berjasa (2,053 undi) dan calon Bebas, Ridzuan Bani (337).

Sementara itu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR yang berdepan cabaran tiga calon lain mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 11,832 undi.

Pencabar terdekat, Tan Kok Eng daripada BN memperoleh 32,235 undi manakala dua calon Bebas iaitu Mohamad Sukeri Abdul Samat dan Mokhtar Salahudin pula hilang wang deposit selepas masing-masing hanya meraih 793 dan 191 undi.

BN mengekalkan kecemerlangan dalam persaingan satu lawan satu apabila memenangi 79 daripada 132 kerusi dan bakinya diraih pakatan DAP-PKR-PAS.

Lebih membanggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN mempertahankan kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti bertambah kepada 35,613 undi, mengalahkan calon PKR Mohd Fariz Musa. Pada 2008 Najib memperoleh majoriti 26,464.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi mengatasi calon PAS Mohd Rozali Jamil.

Bagi pertembungan tiga penjuru yang membabitkan 107 kerusi, pakatan menang di 75 kerusi dan baki 32 dimenangi BN.

Sementara itu daripada tujuh kerusi yang menyaksikan pertembungan lima penjuru, BN menang tiga iaitu Cameron Highlands, Pahang serta Kota Belud dan Tenom di Sabah.

Empat lagi iaitu Padang Serai (Kedah), Seremban (Negeri Sembilan), Subang (Selangor) dan Batu (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dimenangi pakatan.

Kerusi Parlimen Kapar yang direbut enam calon dimenangi PKR menerusi G. Manivannan mengatasi pencabar terdekat daripada BN, A. Sakhtivel dengan majoriti 23,790 undi.