Sejak lebih setahun lalu, persoalan yang sering dibangkitkan dalam perbualan kalangan masyarakat di negeri ini, ialah di mana kawasan yang akan ditandingi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Ini berikutan cakap-cakap bahawa beliau akan beralih angin, tidak lagi bertanding di kawasan yang disandangnya Parlimen Jerlun, tetapi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), bagi menyediakan Kedah seorang menteri besar sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di negeri ini.

Isu ini banyak dimainkan di blog dan media sosial.

Golongan muda di Kedah dan pengundi atas pagar sebenarnya memberikan tumpuan kepada Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas faktor beliau ialah antara pemimpin muda yang naik selepas tsunami politik pada PRU 2008, yang sangat diharapkan akan membawa pembaharuan dalam parti dan kerajaan.

Faktor kedua yang tidak boleh dinafikan cukup penting ialah kerana beliau anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menerajui negara ini selama 22 tahun.

Jasa dan kejayaan Dr Mahathir memacu Malaysia mencapai kecemerlangan demi kecemerlangan dalam tempoh pemerintahan dari 1981 hingga 2003, menyebabkan banyak pihak berharap Mukhriz akan dapat melakukan perkara yang serupa, satu beban harapan yang terpaksa dipikul Mukhriz.

Jadi tidak hairanlah, isu sama ada Mukhriz bertanding kerusi DUN atau parlimen akan terus diperkatakan sehinggalah pengumuman rasmi tentangnya dibuat.

Sebelum ini, ada spekulasi Mukhriz akan berpindah ke kawasan parlimen lain iaitu Kubang Pasu atau Langkawi.

Kedua-dua kawasan ini memang berkait rapat dengan Dr Mahathir kerana bekas perdana menteri itu menjadi anggota Parlimen Kubang Pasu sejak 1974 manakala bagi Langkawi, Dr Mahathir memainkan peranan besar terhadap pembangunan pulau bebas cukai itu sejak 1987.

Spekulasi Mukhriz bertanding kerusi DUN bermula apabila beliau dikatakan akan bertanding bagi kerusi DUN Bukit Kayu Hitam dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu, apabila penyandang Datuk Ahmad Zaini Japar dikatakan sanggup memberikan kerusi itu kepada Mukhriz.

Kemudian beliau dikatakan akan ke DUN Kubang Rotan dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah, dan yang terkini, beliau dikatakan akan bertanding untuk kerusi DUN Kota Siputeh atau Ayer Hitam, kedua-duanya dalam kawasan Parlimen Jerlun.

Menyedari akan spekulasi itu, Mukhriz pernah tampil menegaskan beliau bersedia bertanding di mana sahaja yang diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun beliau lebih minat kekal bertanding di Jerlun sama ada bagi kerusi parlimen atau DUN.

Ini mungkin disebabkan jika beliau bertanding kerusi DUN atau parlimen di Langkawi atau Kubang Pasu, selagi itulah beliau akan terus dikaitkan dengan bapanya.

Beliau sebenarnya lebih selesa untuk meneroka kawasan sendiri tanpa dikaitkan dengan faktor 'bin Mahathir'.

Dalam keadaan sekarang, ketika Umno dan BN dianggap lemah di Kedah, Mukhriz pernah meminta anggota Umno dan penyokong BN negeri supaya tidak terlalu memikirkan siapa yang akan menjadi menteri besar jika BN berjaya menguasai kembali Kedah pada PRU13.

Apa yang penting sekarang ialah untuk memastikan BN menang pada PRU itu dan perkara lain diselesaikan kemudian.

"Letakkan dacing dulu. Bila umum calon, jangan fikir itu semua (siapa jadi menteri besar). Fikir menangkan calon. Ini ialah masa untuk kukuhkan dan beri kekuatan kepada BN," katanya.