KUALA LUMPUR: Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan setakat hari ini kecuali tiga saja lagi iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang dijangka akan siap segala urusan proses pembubarannya pada Jumaat.


Selangor jadi negeri Pakatan Rakyat pertama membubarkan Dewan Undangan Negerinya. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani watikah pembubaran tersebut pada pukul 2.30 petang dalam satu upacara ringkas di Istana Alam Shah, Klang.

Watikah tersebut ditandatangani di hadapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli-Ahli Dewan Diraja yang hadir. Ia turut disaksikan oleh Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Selangor

Watikah itu kemudian diserahkan kepada Speaker DUN Selangor bagi membolehkan pembubaran DUN dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan kemudian, Khalid memaklumkan bahawa beliau telah memutuskan supaya semua bekas ADUN dan Exco hanya boleh menggunakan separuh daripada peruntukan masing-masing.

"Ini bagi memastikan peruntukan mencukupi selepas pilihan raya selesai diadakan untuk membolehkan kerajaan baharu melaksanakan tugas dengan berkesan agar kebajikan rakyat tidak terabai," katanya.

Sementara itu di Kuala Terengganu, Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menyerahkan notis pembubaran DUN kepada pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab Wahab di pejabat Yang Dipertua di Wisma Darul Iman.

Di Pahang pula, pejabat SPR Pahang menerima watikah pembubaran DUN yang ditandatangani Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Watikah disampaikan Setiausaha DUN Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abd Rahmad kepada pengarah SPR negeri, Othman Noh.

Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sudah menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya di Seri Mutiara bagi memohon perkenan pembubaran.

"Saya juga telah mencadangkan kepada TYT Yang Dipertua Negeri untuk mempertimbangkan (Jumaat) sebagai tarikh pembubaran," kata Guan Eng dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan kemudian.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan DUN negeri itu akan dibubarkan selewat-lewatnya pada Jumaat. Pembubaran DUN Kedah akan diumum selepas beliau memaklumkan perintah tersebut kepada Jawatankuasa Pemangku Sultan untuk diperkenan.Beliau hadir di perjumpaan majlis pimpinan Pakatan Rakyat di Petaling Jaya.

Bagi Kelantan, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga memaklumkan akan mendapatkan perkenan Sultan Muhammad Kelima bagi membubarkan DUN. Katanya, DUN Kelantan akan dibubarkan paling lewat pada Jumaat.

Kesemua DUN sudah dibubarkan sama ada pada Khamis atau Rabu dan lebih awal Negeri Sembilan yang terbubar secara automatik pada 28 Mac lepas.