Seramai 250 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pangkor dan Pasir Bogak bertindak keluar parti kerana mendakwa sudah muak dengan sikap kepimpinan dan wakil rakyat mereka yang langsung tidak mengambil berat terhadap masyarakat kaum India di kawasan itu.

Kesemua mereka juga sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan berfungsi sebagai satu platform untuk membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bekas Ketua Ranting PKR Pangkor, V. Subramaniam berkata, kesemua bekas ahli PKR itu bertindak sedemikian kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti kawasan Lumut dan juga Ahli Parlimennya, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid.

Dakwa beliau lagi, pucuk pimpinan parti termasuk ahli parlimen terbabit juga hanya turun ke kawasan setahun sekali sejak 2013 dan kali terakhir berbuat demikian pada Oktober 2017 lalu.

"Tidak ambil tindakan apa-apa masalah di Pulau Pangkor ini atau tidak turun padang selaku ahli parlimen.

"Oleh itu, kami kercewa dan tersilap banyak sebab sudah menyokong. Beliau juga bukan orang tempatan,” katanya pada sidang media khas di Pulau Pangkor hari ini.

Sehubungan itu katanya, kesemua 250 individu yang keluar parti berkenaan akan berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada kerajaan dengan menjadi sebahagian daripada jentera BN pada PRU14 menerusi NGO.

Tindakan keluar parti yang diketuai oleh Subramaniam dan bekas Ketua Ranting PKR Pasir Bogak, Shawal Hamid Pitchai Nagoor Samsu itu sekali gus menyaksikan kedua-dua Ranting berkenaan berkubur dengan sendirinya.