Anggota UMNO perlu mempertahankan prinsip parti iaitu mempertahankan presiden dan yakin terhadap kepimpinannya, kata anggota Majlis Tertingginya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya mereka sudah sepatutnya memulakan 'serangan' terhadap pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang dan tidak terperangkap dengan isu yang dimainkan parti pembangkang.

Oleh itu, beliau meminta mereka supaya bersatu di bawah satu kepimpinan bagi memperkukuhkan parti dan supaya lebih fokus kepada pembangkang yang merupakan musuh sebenar.

"Kita mesti fokus kepada musuh kita bukan dalam kalangan sesama anggota parti dan mempertahankan prinsip UMNO iaitu membela presiden parti," katanya pada majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO bahagian Kuala Pilah di Dewan Datuk Bahaman Shamsudin di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga mengingatkan anggota UMNO supaya tidak terperangkap dengan isu dan fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap kepimpinan parti.

Ismail Sabri juga berkata anggota UMNO perlu mengambil peluang daripada keadaan parti pembangkang termasuk PAS pada waktu ini yang sedang berpecah-belah.

"..(jangan) sewaktu pembangkang lemah, kita juga mencari jalan untuk melemahkan diri sendiri sehingga kita menyerang presiden kita, menyerang sesiapa sahaja (anggota parti dan parti Barisan Nasional) secara terbuka.

"Cuba kita fikir sendiri dan renung apa yang kita buat untuk menyerang pembangkang dalam masa ini. Kita tengok, seolah-olah musuh kita bukan lagi pembangkang tetapi dalaman parti sendiri," katanya.

Katanya walaupun dahulu UMNO pernah menghadapi berbagai-bagai ujian, tetapi kali ini parti itu sedang menghadapi ujian paling getir sehingga terlalu banyak serangan kepada parti dan fitnah terhadap presiden parti, sehinggakan anggota parti menjadi keliru dan akhirnya membawa suara pembangkang untuk menyerang parti sendiri.

"Sepatutnya 'peluru' dan kekuatan kita, kita hadapkan kepada pembangkang tetapi ini tidak berlaku. Banyak isu yang timbul dalam kalangan pembangkang seperti di Pulau Pinang isu kenaikan air dan sebagainya, manakala di Selangor isu kenaikan cukai pintu dan tanah dan sebagainya.....tak ada siapa yang pedulikan.

"Tetapi kerana kita taksub kepada isu yang dibangkitkan oleh pembangkang yang akhirnya merubah kepercayaan kita kepada pemimpin, kita akhirnya lupakan pembangkang dan serang pemimpin kita sendiri.

"Ini yang berlaku pada hari ini di mana kita akhirnya masuk perangkap pembangkang dan kita akhirnya lari daripada tujuan asal perjuangan kita.

Ismail Sabri berkata anggota UMNO mesti mempertahankan presiden parti dan yakin kepada beliau dalam usaha memperkuatkan parti dan jika gagal parti akan menjadi lemah.