Menuntut hak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah antara isu yang akan diperjuangkan oleh penyandang Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman sekiranya beliau menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Beliau berkata, perkara itu bukanlah sekadar retorik semata-mata memandangkan ia sudah diperjuangkan pihaknya sebelum ini dalam memastikan perjuangan rakyat Sabah untuk menuntut hak yang termaktub dalam MA63 terus mendapat pembelaan.

Anifah berkata, untuk memastikan hak rakyat terus terbela, beliau menyeru kepada masyarakat di Parlimen berkenaan memberikan mandat kepada BN sekali lagi.

"Kita akan terus bekerja, walaupun sekarang saya penyandang kerusi Parlimen Kimanis, bukan waktu PRU sahaja, tapi ia akan berterusan.

"Sebab itu, falsafah saya apabila di dalam negara, saya akan mendahulukan Sabah, dan di luar negara pula, saya akan dahulukan negara kita Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Karnival Mini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT4U) di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anifah yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis itu menyarankan semua rakyat Sabah untuk berhati-hati dengan dakyah songsang pihak pembangkang yang sengaja mengapi-apikan pelbagai sentimen demi meraih undi.

"Kita haruslah berhati-hati supaya kita undi parti yang betul-betul dapat memperjuangkan nasib kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan wakil-wakil rakyat negeri ini tidak sepatutnya berharap kepada wakil rakyat dari negeri lain untuk memperjuangkan hak Sabah.

"Antaranya, MA63 yang ada dalam Perlembagaan dan harus ditunaikan.

"Tetapi kita harus berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah mengiktiraf bahawa ada unsur-unsur asas (dalam MA63) yang mana kita boleh menuntut hak kita," tambahnya.