Tun Dr Mahathir Mohamad berharap ahli-ahli UMNO memberi peluang untuknya menjelaskan kenapa beliau mengkritik pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berharap peluang diberikan kepadanya untuk membolehkan ahli UMNO menilai sama ada beliau merosakkan parti atau tidak.

"Jika ada yang fikir saya merosakkan parti, saya harap saya diberi peluang untuk menjelaskan kenapa saya “menyerang” Datuk Seri Najib.

"Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli UMNO tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan UMNO, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 tiap PRU," katanya dalam tulisan terbaru di blognya chedet.cc hari ini.

Dalam tulisan tersebut, Dr Mahathir berterima kasih kepada ahli UMNO, yang sebahagiannya menasihatkan beliau menghentikan serangan terhadap Najib.

Namun jelas beliau, pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu membuktikan berlaku kesetiaan kepada pemimpin sehingga tidak menyoal apa yang dilakukan..

"Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita," tulis beliau lagi.

BACA: "Buat kerja masing-masing sudah lah" - Pak Lah

BACA: Dr Mahathir akui mahu Najib jadi PM kerana kenang jasa Tun Razak

BACA: Tun M dilihat lebih kecewa daripada marah terhadap Najib di entri terbaharunya

Najib, kata Dr Mahathir lebih lemah berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana prestasinya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lebih menurun.

"Hanya mereka yang tidak dapat lihat sahaja yang tidak sedar bahawa UMNO dibawah Dato’ Sri Najib telah gagal memulih UMNO selepas Tun Abdullah.

"Kemenangan Najib lebih tipis," katanya.

BACA: Tun M tidak akan kerjasama dengan parti politik untuk jatuhkan Najib

BACA: 'Saya maafkan Najib isu jambatan bengkok, bukan 1MDB' - Tun M

BACA: 1MDB: Jangan gelabah dengan persoalan Tun M - Mohammad Agus

Dr Mahathir berharap, beliau dapat bertemu ahli UMNO biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbillion ringgit.

"Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap “serangan” saya. Apakah saya sedang merosakkan parti atau mencuba menyelamatkanya," ujar beliau.