Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjadi seperti UMNO sekiranya parti itu menerima kemasukan ahli dari parti berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR ) berkata, ini kerana asas penubuhan kedua-dua parti itu berbeza.

"Dia tak sama dengan UMNO, sebab apa, Bersatu ditubuhkan dari UMNO, dia lain daripada UMNO. Asas dah lain. Dulu Tun M (Dr Mahathir Mohamad) pun Presiden UMNO, dah tinggalkan UMNO dan tubuhkan Bersatu," katanya selepas Majlis Minum Petang Wanita Keadilan Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Pantai Robina hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, pelawaan Dr Mahathir agar parti Melayu menyertai Bersatu dibuat mungkin kerana mahu menambah bilangan ahli serta mengukuhkan kuasa politik parti berkenaan.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata, setakat ini pimpinan serta ahli Pas dan UMNO telah memberi petunjuk bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai parti tersebut.

"Mana-mana parti politik pun mahukan (ramai) angka dan ahli. Oleh kerana Bersatu adalah parti berasaskan Melayu maka dia (Dr Mahathir) meminta parti-parti berasaskan Melayu untuk berfikir tentang bergabung dengan parti itu.

"Tetapi saya rasa Pas dan UMNO telah berikan beliau petunjuk bahawa mereka benar-benar tidak berminat (untuk menyertai Bersatu)," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Dr Mahathir yang mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

Menurut Dr Mahathir, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.

Jesteru demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah, beliau mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti.