Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, yang terbesar, sudah memasuki fasa pertengahan kempen dengan Barisan Nasional (BN) penuh yakin untuk 'membelasah' pakatan pembangkang yang sudah berpecah.

Memasuki fasa itu bagi menghadapi PRN ke-11 pada 7 Mei, kem BN meramalkan parti itu mampu menguasai 68 hingga 72 kerusi selepas menang tanpa bertanding di kawasan Bukit Sari dan Bukit Kota pada hari penamaan calon.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang mengetuai cabaran BN Sarawak buat pertama kali, berkata gabungan itu mampu menawan lebih 70 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.

"Kami sudah memantau situasi itu sejak dua minggu lepas dan jelas kelihatan rakyat Sarawak masih yakin terhadap BN," katanya ketika lawatan ke Sematan, kira-kira 100km dari sini.

Persoalannya sekarang, sejauh mana Pasukan Adenan berjaya mendekati semula pengundi Cina bagi merungkai cengkaman DAP di kawasan bandar dalam mengesahkan kemenangan menyeluruh serta mengekalkan penguasaan dalam DUN, yang telah dibesarkan dengan tambahan 11 kerusi baharu.

"BN pastinya akan berjaya. Hakikatnya parti itu menang dua kerusi tanpa bertanding dalam konteks hari ini adalah luar biasa. Saya jangka sekurang-kurangnya tiga hingga empat kerusi majoriti kaum Cina akan kembali kepada BN," kata Dr Lee Kuok Tiung, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah.

Pada PRN 2011, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi, DAP 12, PKR tiga dan Bebas satu kerusi.

Kempen pilihan raya sudah semakin rancak di beratus-ratus kampung dan tempat, tetapi tidak mendapat sambutan di kebanyakan kawasan bandar, dengan kehadiran orang yang kurang pada ceramah-ceramah DAP kali ini.

Adenan sudah semestinya menjadi daya tarikan apabila berjaya menarik kehadiran sehingga 5,000 rakyat di sesetengah tempat.

Lebih 2,000 orang sanggup mendengar ucapannya walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai di kawasan yang dianggap sengit di Batu Kawah, malam tadi, bagi menyokong Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Hui Kian, yang akan terbabit dalam pertandingan tiga penjuru.

"Kali ini adalah 'demam Adenan' dan beliau duri dalam daging kepada pembangkang. Tetapi jangan mengharapkan keajaiban atau 'tsunami' kerana kaum Cina adalah pengundi pragmatik dan strategik," kata penganalisis politik Dr Jeniri Amir.

"Tetapi dalam keyakinan perlu berhati-hati. Senario terbaik saya bagi BN adalah (memenangi) 70 kerusi dan paling teruk 65."

Dr Lee berkata: "BN mempunyai kelebihan di kawasan Bumiputera. Penerimaan di kawasan itu berbeza daripada kawasan-kawasan bandar kerana rakyat di sana perlukan pembangunan dan isu utama mereka adalah berhubung tanah hak adat Bumiputera.

"Dalam tempoh yang singkat dua tahun, Adenan sudah menunjukkan keikhlasan beliau dan berjaya melakukan sesuatu, dan ini sangat positif."

Jentera pilihan raya BN mengambil kesempatan daripada kempen Pakatan Harapan yang dicemari dengan isu pertindihan kerusi antara DAP dan PKR, yang bertembung di enam kerusi, termasuk di Batu Kitang dengan menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Batu Kawah dan Batu Kitang di Kuching dikategorikan sebagai kawasan 'panas'. Beberapa lagi kawasan majoriti kaum Cina, termasuk Bawang Assek dan Dudong di Sibu, kedua-duanya menyaksikan pertandingan lima penjuru, juga menjadi perhatian.

Di Miri, penganalisis politik menjangkakan Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting akan memberikan tentangan sengit di Piasau, berdepan penyandang Ling Sie Kong dari DAP, yang melakukan kejutan menewaskan ketika itu Presiden SUPP Tan Sri George Chan pada 2011.

Di kawasan-kawasan Bumiputera, pertandingan paling menarik adalah di

Ba'kelalan, menyaksikan calon BN Willie Liau berdepan bapa saudaranya, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang juga penyandang kerusi berkenaan.