Apalah erti demokrasi jika tiada penyertaan daripada masyarakat?

Bagi tahun 2018, gelombang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja semakin panas dengan pelbagai manifesto dan calon yang bakal bertanding malah penglibatan aktif masyarakat dalam perayaan demokrasi ini.

Jika dilihat di media sosial pelbagai komen dan suara masyarakat merungut disebabkan Hari Pengundian jatuh pada hari Rabu, 9 Mei 2018.

BACA: Rabu bukan masalah, ini 'throwback' tarikh PRU 1969-2018

Kebanyakan masyarakat daripada pelbagai latar belakang mengatakan hari tersebut adalah sukar untuk bercuti untuk pulang ke kampung termasuklah golongan mahasiswa.

Hakikatnya, golongan mahasiswa yang merupakan golongan milenial ternyata mempunyai cetusan idea yang bijaksana dalam terus menyuburkan semangat demokrasi dalam negara.

BACA LAGI: Hari Rabu bukan alasan tak pergi mengundi!

Bagi lepasan pelajar sarjana muda di Institut Asia Eropah di Universiti Malaya (UM), Aaron Denison Deivasagayam, beliau sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi mencari dana kepada mahasiswa seluruh Semenanjung Malaysia untuk pulang mengundi.

Walaupun kempen #PulangMengundi sudahpun heboh lebih awal di media sosial, beliau mula terfikir membantu mahasiswa selepas mendengar sendiri keluhan mereka.

“Saya mewakafkan duit daripada bekerja separuh masa sebagai tutor sebanyak RM450 untuk bantu mahasiswa membeli tiket bas pulang ke tempat mereka mengundi,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut beliau, kempen itu pada awalnya disasarkan kepada pelajar UM sahaja tetapi apabila mendapat banyak permintaan daripada universiti lain, beliau menawarkan bantuan kepada seluruh mahasiswa di Malaysia.

Setakat ini, 13 mahasiswa sudahpun mendapat bantuan dan bagi pelajar Sabah dan Sarawak, beliau sekadar menghulurkan wang untuk membeli tiket ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau mengakui, bantuan dana diperolehi secara individu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Harapan saya, semua pelajar universiti mengambil bahagian dan rasa bertanggungjawab dalam proses demokrasi di negara kita,” tambah pemuda itu.

Menurutnya lagi, Hari Pengundian yang diadakan pada hari Rabu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengundi kerana di negara lain, proses demokrasi adalah lebih sukar.

Ujar beliau, kempen #PulangMengundi merupakan penentangan kepada kempen #UndiRosak.

“Anda tidak boleh membuang negara dengan merosakkan undi. Tindakan itu sangat tidak masuk akal,” jelasnya.