Bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan penubuhan sebuah parti baru yang mempunyai hanya satu objektif iaitu semata-mata untuk memerangi rasuah habis-habisan.

Jelas beliau, Parti Bebas Rasuah yang ditubuhkan ini tidak berminat untuk membentuk kuasa seperti parti politik lain dan ia akan kekal menjadi parti kecil dan berobjektif tunggal.

"Parti akan hilang tumpuan apabila ia menjadi besar. Parti yang besar juga akan menyebabkan ia tertumpu kepada perebutan kuasa.

"Justeru, parti ini tidak boleh dan tidak akan menjadi parti besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ezam juga menjelaskan parti baru itu akan member tumpuan kepada Kementerian Kewangan kerana, menurut beliau, di situlah "lubuk kejahatan" dan salah guna kuasa berlaku.

Memberikan contoh 1MDB dan SRC International, bekas senator itu berkata, di kementerian berkenaan juga berlaku "kejahatan" lain seperti penyelewengan tender kerajaan.

"Parti baru ini akan fokus dan membongkar lubuk kejahatan salah guna kuasa ini," katanya lagi.

Ujar Ezam, selain beliau, parti ini juga akan turut disertai oleh bekas naib ketua UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa individu lain.