NVIDIA pagi ini mencatatkan keuntungan $14 bilion dan pendapatan pula meningkat 262% pada suku yang lalu berbanding suku yang sama 2023.

Mereka juga mengatakan permintaan untuk cip AI mereka adalah lebih tinggi daripada jumlah yang boleh dikeluarkan pada waktu ini.

Walaupun cip Blackwell B200 baru sahaja diumumkan pada Mac lalu, CEO NVIDIA Jensen Huang mengatakan syarikat kini akan menghasilkan cip baharu setiap tahun.

Sebelum ini CPU da GPU diumumkan setiap dua tahun sekali. Dengan permintaan yang semakin melonjak untuk CIP AI, NVIDIA merasakan cip lebih berkuasa perlu diperkenalkan lebih pantas berbanding jadual yang digunakan selama ini.

Kepada pelanggan pula, mereka tidak perlu risau kerana cip baharu yang akan diperkenalkan telah direka untuk digunakan pada kelengkapan sedia ada.

Hanya cip perlu ditukar dan bukannya kesemua komputer di pusat data.

Di Malaysia, pusat data AI di Johor adalah antara yang terawal di dunia dilengkapi cip Blackwell.

Negara kita dan juga jiran serantau menjadi pilihan pelabur khusus dalam bidang AI serta semikonduktor kerana menjadi alternatif paling selamat kerana tidak terletak terlalu dekat dengan China dan kos kuasa yang masih rendah. -Amanz