Isu perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam Manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sejajar dengan keprihatinan kerajaan dalam menjaga hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam MA63.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau memberi jaminan Sabah akan terus dibangunkan dan tidak terpinggir.

Malah, beliau turut menyelar tindakan segelintir pihak di negeri ini yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan serta memelihara hak rakyat Sabah dengan menggunakan slogan 'Sabah untuk Sabahan' sebagai modal politik.

"Saya mewakili Perdana Menteri, saya yang mewakili BN memberi jaminan bahawa MA63 akan termasuk di dalam manifesto dan hak orang Sabah terus dipertahankan, jangan ingat bahawa Kerajaan BN tidak mengambil kepedulian mengenai MA63," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Pecah Tanah Politeknik Kota Belud, Di Kampung Kesapang, Kota Belud pada Jumaat.

Hadir sama adalah Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak Dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.

Untuk rekod, Kampus Politeknik Kota Belud yang menelan belanja sejumlah RM80 juta ini akan dibina di tanah berkeluasan 12 hektar dan dijangka siap pada tahun 2021.

Manakala pengambilan kohort pertama bagi dua program yang ditawarkan iaitu Diploma Petroleum dan Diploma Pengurusan Resort dijangka dilaksanakan tahun ini dan memulakan pembelajaran di kampus sementara yang beroperasi di Politeknik Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan bahawa Kerajaan BN telah melaksanakan 97.6 peratus manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) termasuk di Negeri Sabah.

Menurutnya, pencapaian cemerlang dalam melaksanakan manifesto itu membuktikan bahawa Kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang terbaik bagi rakyat Malaysia.