Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan perjuangan dan pembangunan yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu, bukan hanya dengan mengenang jasa mereka semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya lagi, generasi akan datang juga harus mempunyai pemikiran yang serupa bagi memastikan status negara ini dapat diangkat dengan lebih tinggi lagi.

“Sebagai penyambung kepada perjuangan itu, sebagai generasi penerus, kita bukan saja mengenang jasa mereka terdahulu daripada kita, tetapi kita mesti membawa apa yang telah mereka mulakan atau apa yang mereka telah asaskan itu, kita bawa ke tahap yang lebih tinggi lagi.

“Kita tidak boleh semata-mata hidup dalam ingatan dan nostalgia saja. Kita mesti membawa kemajuan yang lebih hebat lagi, dan itulah prinsip yang sebenarnya,” kata Perdana Menteri ketika berucap di Majlis Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri bersama penduduk setempat Batu 8 Lepar, Pekan, di sini hari ini.

Dari segi politik, Datuk Seri Najib berkata, teras politik tanah air negara ini haruslah tetap kepada Barisan Nasional sahaja.

“Sebab belah sana (pembangkang) kita tak yakin, kita tengok perangai satu dua ekor sebelah sana, kita tak yakin kita akan jaga kepentingan kita semua.

“Terutamanya kepentingan di luar bandar, kepentingan Islam, kepentingan orang Melayu, institusi seperti Felda, UiTM, apakah akan terus selamat kalau pembangkang tubuh kerajaan?” katanya lagi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta masyarakat agar fikir semasak-masaknya, dan membuat pilihan yang tepat sewaktu hari pembuangan undi pada 9 Mei ini.