Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan kembali kepada ekonomi Islam bagi menangani krisis ekonomi yang dikatakan melanda negara ketika ini.

Menurut beliau, pengutipan cukai seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukanlah jalan penyelesaiannya kerana ianya hanya akan mendorong kepada inflasi.

"Saya nasihatkan (kerajaan) supaya kembali kepada ekonomi Islam... (saya rasa) tidak jadi masalah kepada orang bukan Islam.

"Kalau kaum Cina dan India boleh terima (ideologi) kapitalisme, sosialime dan kapitalisme, mengapa mereka tidak boleh terima (ekonomi) Islam?

"Dalam menangani ekonomi, cukai bukan ubatnya," kata beliau pada ucapan penutup Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) anjuran Dewan Ulama PAS Pusat.

Ujar beliau, kapitalisme lebih membela orang kaya dan menzalimi orang miskin, manakala sosialisme pula membela orang miskin dan menzalimi orang kaya selain kedua-dua ideologi itu bersifat materialistik semata-mata.

"Kedua-dua teori tiada roh dan tidak berasaskan agama... dan dunia telah menyaksikan kedua-dua teori ini gagal.

"Lihat apa yang terjadi kepada Soviet Union... malah dengan Amerika Syarikat yang menanggung hutang yang berangka trilion sebab menghalalkan riba," katanya.

Selain itu, katanya amat menyedihkan apabila terdapat orang Islam sendiri yang menolak ekonomi berasaskan Islam.

Abdul Hadi turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menggunakan sumber tenaga manusia yang ada untuk membantu membina pendapatan negara.

"Apa Barisan Nasional (BN) buat dengan sumber negara yang kaya raya, dengan tenaga masyarakat yang pelbagai kaum.

"Mereka tidak manfaatkan sumber ekonomi negara setelah memerintah lebih setengah abad... (sebaliknya) masing-masing menyalahkan masing-masing," katanya lagi sambil meminta kerajaan bertaubat.

Selain menyebabkan inflasi, Abdul Hadi berkata GST juga akan menyebabkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan juga keadaan dimana peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 2,000 hadirin pada perhimpunan tersebut yang diadakan di Padang Merbok bagi membantah pelaksanaan GST.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, pemangku Timbalan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.