Pas mengulangi pendirian parti itu bahawa jalinan kerjasama dengan parti-parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah bersandarkan kepada konsep 'taawun'.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pendekatan 'taawun' yang diamalkan Pas adalah menjalinkan kerjasama dengan pihak yang menyokong gagasan Islam atau untuk perkara baik dan yang mempunyai kepentingan rakyat.

"Pendekatan sebegini akan menimbulkan demokrasi yang tenang serta tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat... kita tidak mahu apabila berlaku perbezaan pendapat (dengan parti lain) boleh menimbulkan kekacauan dalam negara.

"Cukuplah apa yang berlaku di negara Arab di mana perbalahan tidak diselesaikan secara beradab, telah menimbulkan kekacauan dalam negeri dan melibatkan campur tangan asing dalam negeri... ini kita tidak benarkan.

"Biar kita boleh berbeza pendapat, boleh berbalah tapi jangan sampai berperang, ini pendekatan yang kita nak perkenalkan (taawun)," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon-calon Pas Terengganu yang akan bertanding pada PRU14 di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, semalam.

Abdul Hadi mengulas pertanyaan pemberita sama ada wujud atau tidak kerjasama secara rasmi dengan Barisan Nasional atau UMNO pada PRU 4 ini.

Pas sebelum ini menepis kenyataan dari luar atau dalam parti kononnya bakal wujud kerajaan campuran antara Pas dengan BN.

Pas akan menghadapi PRU14 atas platform gabungan dipeloporinya iaitu Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada gabungan beberapa parti politik tanah air seperti Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Kongres Rakyat serta pertubuhan yang mahu mewujudkan negara sejahtera.

Mengulas lanjut adakah hubungan Pas dan UMNO akan jadi seperti 'kiambang bertaut', Abdul Hadi berkata: "Boleh jadi bertaut atau tidak bertaut."

Sementara itu pada pengumuman calon semalam, Pas mengemukakan 40 calon yang akan bertanding di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri dan lapan kerusi Parlimen Terengganu.

Abdul Hadi atau mesra dipanggil Ayah Cik, yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang, hanya akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang kerana ingin memberi laluan kepada calon yang lebih muda mengambil alih DUN Rhu Rendang.

Selain itu, sebanyak 15 muka baharu dicalonkan termasuk anaknya, Muhammad Khalil merangkap Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia yang akan bertanding di DUN Batu Buruk.

-- BERNAMA