Pemilihan calon mewakili Barisan Nasional (BN) dilakukan bagi memastikan parti itu memenangi 'peperangan besar' dan tidak hanya 'pertempuran kecil," kata Pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dan kita semua jelas mengerti bahawa tiada gunanya memenangi pertempuran kecil, jika ia hanya akan menyebabkan kita kalah peperangan besar," Datuk Seri Najib berkata demikian dalam satu sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, hari ini.

Beliau turut menjelaskan calon-calon yang dipilih mewakili parti itu pada PRU14 yang telah dinilai sejak lima tahun yang lalu.

Beliau berkata, beberapa kriteria dijadikan ukuran untuk menilai dan memilih calon yang bakal bertanding pada PRU14 nanti.

Antaranya termasuk calon yang disenangi oleh rakyat, khidmat bakti, penyertaan calon-calon wanita, nisbah perwakilan mengikut kaum dan peremajaan semula parti dengan muka-muka baharu.

“Objektif utama pemilihan calon adalah memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang, pada masa yang sama mengekalkan momentum parti untuk jangka masa panjang.

"Oleh sebab itu, calon-calon telah dipilih berdasarkan rekod dan potensi mereka.,” katanya lagi.

Najib berkata, BN mahu menawarkan kepada para pengundi calon yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik dikawasan mereka.

Beliau juga berharap mereka yang tidak terpilih menjadi calon dapat menerima keputusan yang dibuat dengan hati yang terbuka dan menyokong mereka yang dipilih, dan meletakkan kepentingan BN atas segalanya.

"Menjelang hari penamaan esok marilah kita rapatkan saf kerana hanya dengan kesatupaduan kita akan berjaya untuk mencapai satu kemenangan yang besar," katanya.