Kongres Nasional PKR 2018 akan diadakan seperti dijadual pada 16 hingga 18 Nov ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata 17 dan 18 Nov dijadual untuk kongres peringkat pusat manakala 16 Nov akan diadakan kongres bagi Sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

"Setakat ini tiada arahan lain. Kita dah keluarkan notis sebulan lepas, makluman sudah dibuat dan seterusnya saya akan bertemu Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bincang beberapa perkara berkaitan usul kerana saya sebahagian daripada jawatankuasa usul.

"Kita akan menjemput 10 wakil daripada setiap cabang dan biasanya 1,000 hingga 1,500 orang akan hadir, tetapi tahun ini kemeriahannya mungkin lebih sedikit kerana ini tahun pertama kongres ini diadakan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan," katanya kepada Bernama ketika hadir di Fiesta Deepavali 2018 di Brickfields, di sini pada Isnin.

Fahmi yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai menjelaskan setakat ini, perbincangan dengan pembahas mengenai usul bakal dibawa sedang diadakan dan secara amnya usul akan merangkumi perihal ekonomi, sosial dan reformasi politik.

Mengulas mengenai pemilihan cabang Julau di Sarawak yang sedang berdepan kemelut keanggotaan, beliau berkata secara asasnya semua nama bagi keanggotaan baharu sudah mendapat kelulusan Biro Politik Pusat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana itu prosedurnya.

"Biro Politik Pusat mengadakan pertemuan setiap minggu manakala MPP bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali.

"Biasanya tiada penambahan kepada keanggotaan tanpa melalui pemakluman kepada Biro Politik dan MPP. Itu prosesnya dan setahu saya jika ada penambahan selain daripada proses ini, itu adalah pelanggaran proses," katanya.

BACA: Zuraida bawa isu PKR Julau ke mesyuarat pusat minggu depan

Media sebelum ini melaporkan keanggotaan cabang Julau meningkat mendadak daripada 603 kepada 13,000 anggota pada 27 Jun lepas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan ke Pusat Khidmat Anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien di Julau untuk mendapatkan dokumen bagi menjalankan siasatan.

"Saya percaya SPRM boleh mendapatkan semua maklumat yang diperlukan dan kita biarkan SPRM teruskan siasatan," kata Fahmi.

BACA: Ketua penerangan PKR Sarawak buat laporan SPRM

-- BERNAMA