Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang kini boleh dianggap sebagai “kingmaker” dalam pembentukan kerajaan negeri Johor yang baharu.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal menyatakan gabungan tersebut akan dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Pengumuman dibuat dalam sidang media ringkas beberapa jam selepas pengumuman Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan pembentukan gabungan bersama selepas mendapat persetujuan daripada 28 Adun selepas Baginda memanggil 54 daripada 56 Adun ke Bukit Timbalan.

Pakatan Harapan (PH) Johor turut berhimpun dan menyatakan mereka turut mempunyai majoriti 28 Adun terdiri daripada 14 DAP, sembilan Amanah dan lima dari PKR.

Johor mempunyai 56 kerusi Dun dan memerlukan sesuatu gabungan atau pakatan memperolehi 28 kerusi Dun untuk membentuk kerajaan negeri.

Adun Puteri Wangsa yang juga Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang dipercayai boleh memecahkan kebuntuan tersebut.

Namun beliau ketika dihubungi mengambil pendekatan untuk berkecuali dan menunggu arahan daripada Pusat namun telah menemui Sutan Johor pada sebelah malamnya.

“Saya semalam baru balik daripada Kuala Lumpur tidak sempat (berjumpa). Akhirnya saya sampai ke Johor Bahru. Secara peribadi saya sempat jumpa dengan Tuanku, tetapi bukan berjumpa di Bukit Timbalan. Saya menghadap di Istana dan bercakap (tentang) pendirian saya.

“Saya mendapat kerjasama yang baik daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku. Saya tidak dapat membuat keputusan, sehingga dapat arahan daripada pusat terutamanya Pengerusi Bersatu (Tun Dr Mahathir),” katanya kepada Astro AWANI.

Mazlan merupakan satu-satunya Adun yang masih belum menyatakan pendirian sama ada menyokong pembentukan gabungan baharu atau mengekalkan Pakatan Harapan Johor menerajui pentadbiran.

Adun Puteri Wangsa itu merupakan salah seorang daripada Adun yang tidak menghadiri pertemuan dengan Sultan Johor pada Khamis.

Seorang lagi adalah Adun Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayob daripada Amanah yang tidak hadir kerana menghadap Yang DiPertuan Agong memandangkan beliau juga Ahli Parlimen Pulai namun menyatakan pendirian untuk bersama PH Johor.