Hala tuju MCA termasuk isu kontroversi sama ada parti itu akan keluar daripada Barisan Nasional akan ditentukan dalam satu mesyuarat pada 2 Disember ini kata calon Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata perkara mengenai survival parti akan ditentukan oleh perwakilan dan akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat.

"Saya serah pada perwakilan kerana kita akan adakan satu mesyuarat pada 2 Disember ini membincangkan hala tuju kita ke mana kita nak pergi semua ini akan diputuskan dalam perwakilan, kerana perwakilan adalah peringkat tertinggi dalam membuat keputusan. Dan keputusan itu akan dihormati dan dikuti oleh ahli," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan lawannya bagi calon presiden Gan Peng Siaw yang mahu MCA keluar daripada BN jika menang jawatan itu.

Sementara itu beliau turut mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mendakwa beliau telah memberi jaminan MCA tidak akan keluar daripada BN.

Wee tidak menafikan ada kejanggalan kenyataan tersebut memandangkan baik Khairy mahupun dirinya tidak mempunyai jawatan namun ia perkara biasa yang dilakukan oleh ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

"Saya dan Khairy kita rapat sering berbincang bersama memanglah beliau bukan presiden parti dan saya cuma calon tapi sebagai ahli pembangkang itu perkara biasa kita berbincang.

"Perbincangan kita semua mengenai isu,," katanya.