Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu anggota Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) mendekati pengundi-pengundi muda melalui langkah yang lebih baharu dan berkesan.

Tegasnya, ia berikutan golongan muda hari ini tidak lagi berminat dengan nostalgia, sebaliknya, mereka mempunyai kemahuan dan kehendak yang berbeza.

"Kita harus merangkul realiti di hadapan kita termasuk tidak menostalgiakan pengundi-pengundi yang pertama kali. Mereka ini tidak mahu lagi bernostalgia, apa yang baharu untuk mereka? Apa masa depan mereka? Apa yang mereka layak mereka mulakan?," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Mubarak di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid, kemahuan generasi muda berkenaan tidak bermakna mereka perlu melupakan sejarah yang terpahat sekian lama.

"Jadi peranan yang beginilah ahli-ahli Mubarak harus mainkan supaya biarpun sejarah itu berbentuk nostalgia, tetapi pengundi-pengundi muda ini jangan lupa sejarah. Di samping itu, kita juga tidak harus lupa untuk 20 ke 50 tahun akan datang, apa yang perlu kita lontarkan kepada mereka sebagai menterjemahkan kemerdekaan atas perjuangan selama ini," tambahnya lagi.

Justeru katanya, langkah mengimbangi situasi berkenaan disifatkan sangat penting dan perlu dilakukan secara berkesan.

"Mustahil ada yang baharu, jika tidak ada yang lama. Oleh yang demikian, yang baharu, hormatlah yang lama. Yang lama pula sayanglah yang baharu," kata beliau.

Kesesuaian diri dengan generasi baharu itu katanya akan dapat memastikan anggota Mubarak dianggap relevan.

Pada masa sama, anggota Mubarak diharap terus memberikan sumbangan dan idea demi pembangunan negara.

"Jangan fikirkan bahawa kita tidak relevan lagi. Kita relevan dan masih relevan, cuma harus disesuaikan dengan realiti di hadapan kita sebab kita tidak mahu, gen y, gen z, gen alpha yang akan datang mereka merupakan generasi yang terdiri seolah seperti kacang lupakan kulit. Mereka lupakan apa yang terdahulu dan lampau," ujarnya.